Saturday, June 26, 2010

Ceritera pendek Ep. 2

Hati aku bernyanyi petang itu. Kejap lagi dia akan datang. Sudah lama tidak bertemu Badrul. Kesibukan dia dengan urusan perniagaannya membataskan kami untuk meluangkan masa bersama-sama. Fikiran aku melayang kepada dia semasa kelas tadi. Gagal memberi perhatian. "Nora, ulang apa yang saya cakap tadi!". Terkejut aku disergah Puan Halimah. Semua mata terarah kepada aku. Ada yang menunjukkan wajah simpati, ada yang senyum sinis, ada juga yang ketawa kecil. Rakanku, Suraya menyinggulkan sikunya. "Dia cakap pasal ni" sambil menunjukkan sesuatu pada buku rujukan. Menggelabah aku dibuatnya. "Mmm... pasal penyakit yang tidak akan di cover dalam polisi Puan," jawabku. Bercampur aduk pula bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. "Lain kali sila beri perhatian di dalam kelas saya. Jangan sibuk ingat boyfriend je. Faham?!". Fuh! Nasib baik betul jawapan aku. Aku memandang Suraya sambil tersenyum menandakan terima kasih aku kepada dia.

Tidak sabar rasanya hendak berjumpa. Mataku asyik mengerling ke arah jam. Dari tadi rakan-rakanku mengusik aku. "Nak jumpa buah hati. Tu yang mengelamun je dalam kelas. Hihi..". Suraya menyindir aku sambil tertawa kecil. "Uish! Kalau aku lah kan, tak ada maknanya nak datang kelas. Baik aku grooming dari pagi. Baru lah cun-melecun. Baru meletup. Haha.." Ary pula menyindir aku. Ish! Tak ada kerja lain la kawan-kawan aku ni. Aku cuma tersenyum. Cakaplah apa mereka hendak cakap. Lagi 3 jam Badrul akan sampai. Aku tahulah mereka cemburu. Badrul kan kacak. "Ha! Tengok. Dah senyum sorang-sorang. Tengah berjalan pun boleh mengelamun!" sergah Fara pula. Ketiga-tiganya ketawa. Suraya, Ary dan Fara. Sahabat yang aku kenali hampir setahun yang lalu ketika mula menjejakkan kaki ke kampus ini. Mereka jugalah peneman setia dan tempat meluahkan rasa. Sahabat yang sering menyerikan hari-hariku dengan usikan nakal mereka.

Aku semakin resah. Kenapa Badrul tidak sampai lagi. Janji pukul 5. Sekarang jam sudah menunjukkan 6:30 petang. Suaranya malam semalam agak lain. Tapi aku rasa sebab dia terlampau letih. Baru pulang dari kampung katanya setelah hampir 3 bulan tidak menjenguk orang tuanya di Melaka. Aku cuba menghubungi dia, tapi tidak berangkat. Jam sudah menghampiri pukul 7 malam. Masih tidak kelihatan bayang Badrul. Kenapa ni? Ada masalah ketika dalam perjalanan? Hati aku semakin resah. Aku cuba menghubungi Badrul. Dia masih tidak mengangkat panggilan dari aku. Ah! Badrul. Baru sekarang dia menghubungi aku. Dengan pantas aku menjawab panggilan dia. "Bad! Kenapa tak angkat call Nora? Bad buat Nora risau tau. Bad mana? Janji nak datang pukul 5. Sekarang dah pukul 7 tau. Bad tahukan, Nora tak boleh keluar lebih dari pukul 9. Bad dah sampai mana?". Bertalu-talu soalan keluar dari mulutku. Perasaanku bercampur aduk. Marah, risau, geram, sakit hati, ditambah dengan rindu yang meledak membuatkan aku jadi tidak tentu arah. "Maafkan Bad, Nora. Tadi Bad ada kerja hendak diselesaikan. Sekarang Bad dah ada kat bawah ni. Nora turun ye. Bad tunggu". Lembut sahaja ucapan balas dari Badrul. Tidak pernah meninggikan suara pada aku, sekalipun aku dalam keadaan marah. Mendengar suaranya ang lembut memujuk melembutkan hati aku yang sedang marah. Muka aku yang masam mencuka telah digantikan dengan senyuman yang ceria. Bergegas aku turun untuk bertemu kekasih hati. Dari jauh kelihatan Badrul sedang berdiri di tepi kereta kesayangannya. Berlari aku mendapatkan dia. Setiap saat seolah-olah amat merugikan jika tidak disamping dia. Badrul tersenyum melihat gelagat aku. Aduh! Senyuman itulah yang membuatkan aku dibuai mimpi setiap hari. Badrul membukakan pintu untuk aku. Romantiknya lelaki ini. Aku sangat kasihkan dia. Dia tahu mengambil hatiku bila aku sedang marah. "Apa ni?"tanyaku spontan bila terlihat sejambak bunga di dalam keretanya. "Nora ni. Penat je mama Nora hantar Nora belajar tinggi-tinggi tau. Ini namanya bunga. Ikut apa Bad cakap. Bunga. B.U.N.G.A.". Ish! Geramnya aku. Sempat lagi dia mengusik aku. Pantas sahaja aku mencubit lengannya. Badrul ketawa melihat wajah aku yang kembali mencuka. "Ish! Bad ni. Orang tau lah bunga. Untuk siapa?". Geram betul aku dengan usikan dia tadi. "Haha... Bad suka tengok Nora marah. Lagi Nora marah, lagi manis. Rasa macam nak cium je pipi Nora yang gebu tu tau. Cium sikit boleh?". Ish! Merah padam wajah aku bila dia mengusik aku. Satu lagi cubitan hinggap ke lengannya. Bad menjerit kesakitan, sambil ketawa. "Bunga tu untuk Nora la. Takkan untuk pak guard yang tunggu pondok kat depan kolej Nora ni. Jomlah Nora. Nanti pukul 9 dah nak kena hantar anak dara ni balik kolej dia. Maafkan Bad sebab lambat ye". Aku mengangguk sambil tanganku mencapai bunga yang diletakkan di tempat duduk aku itu. Bunga ros merah. Ada sembilan kuntum semuanya. Sempat juga aku mengira. Bahagianya rasa waktu itu.

to be continued...

No comments:

Post a Comment